Live with love….
Hujung minggu lalu membawa aku ke negeri Kedah. Bukan tak pernah pergi, tapi kali ini aku ke Baling untuk menghadiri majlis walimah kawan sekolah lama dulu. Minggu cuti persekolahan kali ini memang banyak acara yang dijalankan. Beberapa orang kawanku juga telah bertunang di samping mengadakan majlis perkahwinan. Shahir juga telah bertunang Ahad lepas. Memandangkan ramai yang punya acara sendiri, hanya aku, Nizam, Dan, Bujal, EG dan Jaie yang berkesempatan menghadiri majlis kenduri kahwin Ayub.
Jam 10 pagi, Dan, Nizam dan aku bertolak ke Sungai Petani, singgah di rumah Bujal sebelum pergi bersamanya. Rumah Bujal yang berada di atas bukit membawa kami untuk melihat pemandangan yang menakjubkan dari atas bukit.Walaupun hanya pemandangan ladang kelapa sawit, tapi mata yang memandang rasanya tak puas untuk menatap segala panorama hamparan Yang Esa. Aku tak melepaskan peluang untuk merakamkan saat-saat ketika berada di sana. Walaupun hasil gambar hanya permainan tangan novis dan amatur, tapi cukup untuk mengabadikan kenangan.
Sampai di rumah Bujal kami banyak menghabiskan masa dengan Felix, Jebat dan Putih; kucing-kucing yang paling besar pernah kulihat. Ada seekor lagi kucing yang matanya sering menyorot ganas, pendiam dan sukar didekati, aku tak ingat namanya. Terdapat juga kolam ikan buatan yang dipenuhi pelbagai jenis ikan yang berwarna-warni. Suasana di situ amat nyaman dan menenangkan.
Kami bercadang bertemu EG dan Jaie di Parit Panjang selepas Zohor tapi tertangguh kerana masing-masing punya masalah. Jadi kami bercadang bertolak ke Parit Panjang lebih kurang jam 2.30 petang. Masa sejam menunggu membolehkan aku bermain XBOX Special Edition untuk pertama kali. Walaupun aku tewas perlawanan Pro Evolution Soccer dengan Dan, aku pasti akan menebusnya suatu hari nanti.
Bertemu EG dan Jaie di stesen Petronas Parit Panjang dalam jam 3.30 petang sebelum meneruskan perjalanan ke Kampung Lubuk Batu, Kuala Pegang di daerah Baling. Kami menyangkakan berpandukan peta membolehkan kami sampai dengan mudah, tapi jangkaan kami silap sama sekali. Jalan ke rumah Ayub memang ‘adventurous’, berlainan dari peta yang diberi. Bunga manggar masuk ke kampung pula telah dicabut orang.
Hampir setengah jam sesat, akhirnya dalam jam 4.30 petang kami temui rumah Ayub di hujung kampung, mujur kami tak sesat sampai ke Siam. Kami adalah tetamu-tetamu terakhir, membolehkan lebih masa diluangkan dengan Ayub. Hidangan makanan cuma tiga jenis, tapi cukup istimewa dan menyelerakan. Baru saja menyuap nasi, hujan turun dengan lebat, namun tetap tak mematahkan selera kami. Lauk kemestian orang Baling, gulai rias batang pisang, paling pelik tapi menarik.
Lebih kurang jam 6 petang, kami beransur pulang. Hanya sempat merakamkan kenangan bersama Ayub yang tanpa baju pengantin. Tiada hadiah dariku, cuma ucapan moga bahagia hingga ke akhirnya. Kepada pasangan-pasangan bertunang dan berkahwin, salam bahagia dariku, LIVE WITH LOVE.



Recent Comments